Wednesday, May 13, 2009

Tugasan 1




Nama pengarang : Elaine Wilson
Tahun terbitan : 2009
Tajuk buku : School-based Research, A guide for education students
Negara penerbit : London
Nama penerbit : SAGE Publications Ltd




Buku ini menerangkan berkenaan dengan proses-proses yang berlaku semasa kajian dijalankan dan bagaimana kajian itu dapat dilaksanakan dengan baik. Bahagian pertama yang dibincangkan ialah mengapa guru perlu melakukan kajian, bagaimana guru dapat menggunakan kajian yang sedia ada untuk memahami dan merancang kajian sendiri, apakah fokus kajian dan bagaimana untuk memformula soalan-soalan kajian serta penggunaan kajian tinjauan. Manakala bahagian kedua pula membincangkan berkenaan dengan reka bentuk dan etika kajian, mengumpul data, menangani data, kesahan dan kebolehpercayaan kajian kualitatif oleh guru yang mengkaji, analisis data kualitatif, menggunakan pendekatan kuantitatif, analisis data kuantitatif dan penulisan kajian.

Bahagian ketiga pula menerangkan berkenaan kaedah-kaedah seperti kajian tindakan, kajian kes dan membina teori melalui data iaitu teori grounded. Bahagian terakhir pula membincangkan berkenaan paradigma iaitu positivism: kajian saintifik dalam pendidikan dan interpretivism: menemui diri sendiri dalam kajian.

Konsep Kajian Tindakan


Terdapat banyak definisi kajian tindakan, namun di setiap kes terdapat persamaan dari segi tujuan kajian iaitu untuk memperbaiki dan mengubah amalan untuk menyelesaikan sesuatu permasalahan yang dikenalpasti oleh penyelidik iaitu guru. Pendekatan ini melibatkan guru melaksanakan inkuirinya sendiri serta melibatkan guru-guru lain, organisasi atau komuniti secara kolaboratif sewaktu melakukan melakukan kajian. Mereka juga menggunakan pendekatan yang fleksibel di mana kaedah kajian didefinisikan sebagai orientasi ke arah penyelidikan disamping kaedah penyelidikan.


Mengapa Guru Perlu Buat Kajian Tindakan?


Apabila guru terlibat sendiri dalam kajian di dalam kelasnya sendiri, mereka akan lebih memahami akan amalan mereka dan bagaimana untuk meningkatkannya. Guru juga terlibat secara langsung dengan pengetahuan yang sedia ada seperti psikologi, falsafah, sosiologi dan bidang sains sosial yang lain. Akibatnya, pembelajaran yang berkesan akan berlaku melalui kajian yang digabungkan dengan refleksi amalan.

Guru juga boleh memahami perspektif pelajarnya dengan lebih baik, yang mana dalam pembangunan pengetahuan dan pemahaman pelajarnya dalam pembelajaran. Kajian tindakan juga berupaya menjadikan guru sebagai pakar dalam bilik darjahnya. Di sinilah letaknya konsep dan keupayaan guru, sekali gus amalan penyelidikan ini dapat meningkatkan profesionalisme pendidik. Sebagai seorang profesional, seseorang guru cekap dan tepat menangani pelbagai isu dan cabaran dalam dunia pendidikan.

Reka Bentuk Kajian Tindakan

Reka bentuk kajian yang digunakan ialah model asas Kurt Lewin yang mempunyai satu kitaran langkah-langkah yang terdiri daripada aktiviti merancang, bertindak dan menilai keberkesanan tindakan yang telah diambil. Kitaran ini akan diulangi, di mana hasil dapatan kitaran pertama digunakan untuk perancangan kitaran kedua dan begitulah seterusnya sehingga keputusan yang memuaskan diperolehi.



Contoh persoalan kajian ialah ”Adakah pelajar saya mampu menstruktur pemboleh ubah bebas dengan baik jika saya mengajar mereka dengan jelas bagaimana untuk menganalisis isu-isu?”. Seterusnya di peringkat merancang, persoalan yang boleh dilakukan ialah bagaimana untuk mengajar pelajar untuk menganalisis isu-isu yang susah, bagaimana mengumpul data untuk mengawal kesannya dan bagaimana untuk menganalisis data. Kemudian di peringkat tindakan dan pemerhatian, guru perlu melaksanakan apa yang dirancang dan memproses data yang dikumpul. Seterusnya di peringkat refleksi, guru menganalisis data-data yang ditunjukkan. Adakah persoalan itu terjawab? Jika tidak, rancang untuk kitaran yang kedua.


Model Kajian Tindakan

Terdapat tiga model kajian tindakan yang biasa digunakan oleh penyelidik. Pertamanya ialah model yang dicetuskan oleh Stenhouse dan dibangunkan oleh Elliot, Rudduct dan Somekh di UK. Lawrence Stenhouse merupakan penyelidik pertama di UK yang menyokong dan menggerakkan guru-guru supaya bergiat aktif sebagai guru penyelidik. Dalam model ini penyelidik adalah terdiri daripada guru yang mengamalkan pendidikan supaya lebih mudah memahami dan mempertingkatkan amalan.
Model yang kedua pula dipeloporkan oleh Carr dan Kemmis yang berusaha membebaskan tanggapan kajian tindakan yang dijelaskan oleh Whitehead dan McNiff di UK dan Ireland. Model ini berkaitan pengumpulan inkuiri kendiri yang diambil daripada sampel kajian dalam situasi sosial yang menyumbang kepada ekuiti dan demokrasi yang hebat dalam sekolah dan masyarakat.
Manakala model yang ketiga pula berdasarkan Schön, seorang pengamal idea yang reflektif menyusulkan bahawa kajian tindakan ialah berkaitan dengan membina pengetahuan untuk menyokong amalan profesional. Ia juga boleh dikongsi bersama ahli akademik yang lain.
Prosedur Kajian Tindakan

Dalam kajian tindakan, peringkat tindakan adalah yang terpenting. Namun di sebalik itu terdapat pendapat lain yang mengatakan bahawa kajian adalah yang terpenting manakala tindakan pula sekadar memberi faedah sampingan. Kekuatan prosedur kajian tindakan ialah bagaimana kajian tersebut mampu membangunkan hipotesis daripada data sebagai proses membangun dan memahami pendedahan data tersebut.

Langkah pertama ialah mengenal pasti masalah untuk kajian. Dalam konteks sekolah, banyak masalah boleh timbul. Oleh itu, kita perlu memfokuskan perhatian kepada perkara-perkara berikut: ’Apa yang sedang berlaku di sekolah? Bagaimana isu tersebut wujud dan apakah yang saya perlu lakukan?’. Langkah kedua ialah merancang kajian dengan melibatkan beberapa orang guru supaya banyak idea dapat dihasilkan. Kemudian langkah bertindak iaitu pelaksanaan strategi kajian tindakan. Seterunya ialah langkah pemerhatian di mana penyelidik mengumpul data dan maklumat hasil daripada tindakan yang dilakukan dengan merekod dalam bentuk catatan diari, laporan, buku log dan jurnal. Dia juga boleh melakukan soal selidik, temubual, ujian dan rakaman audio atau video.


Pengumpulan dan Penganalisisan Data

Dalam proses pengumpulan data juga mempunyai peringkat merancang: siapa, di mana, bila, bagaimana dan apa?. Selain itu terdapat juga peringkat penyediaan dan pengujian alat-alat untuk mengumpul data. Di peringkat ini, penyelidik harus merekod apa yang berlaku sama dengan cara membuat pemerhatian secara langsung atau menggunakan video atau rakaman audio. Kemudian penyelidik mesti bertanyakan apa yang sedang berlaku sama ada melalui menemubual peserta, menggunakan soal selidik atau membuat ujian. Sumber lain yang boleh dijadikan bahan ialah gambar dan analisis dokumentari.

Manakala dalam proses penganalisis data, penyelidik hendaklah menjalankan analisis secara bersendirian terlebih dahulu dengan membaca semua data yang diperolehi, meneliti gambar, rakaman audio dan sebagainya untuk membuat nota-nota penting tentang hasil kajian. Selepas itu analisis bersama semua guru yang terlibat dilakukan di mana peluang untuk mendalami data-data akan timbul. Analisis data boleh dibuat secara pola atau triagulasi. Analisis pola memberi gambaran kejadian-kejadian yang berulang-ulang. Contohnya pola amalan-amalan pelajar, perkataan-perkataan yang dikeluarkan dan sebagainya. Manakala analisis triagulasi melibatkan data dari pelbagai sumber atau responden yang berlainan, disimpulkan bersama untuk memberi makna atau pengertian kepada dapatan kajian.
Etika Kajian Tindakan

Etika dalam kajian tindakan perlu diberi perhatian kerana hak semua pihak perlu dihormati. Etika penyelidikan dapat melindungi kepentingan semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung daripada dieksploitasikan oleh mereka yang ingin mengambil kesempatan untuk kepentingan diri. Etika kajian juga boleh menggunakan grid. Grid ini diubahsuai daripada grid yang sebenar untuk disesuaikan dengan penyelidikan pendidikan.

Kebolehpercayaan dan Kesahan Kajian Tindakan

Kebolehpercayaan digunakan bagi mengukur keputusan yang sama berbilang kali sepanjang masa. Secara amnya, kebolehpercayaan adalah tahap pengukuran di mana ianya bebas dari kesilapan dan menghasilkan keputusan yang tekal (consistent, tidak berubah). Ujian yang digunakan adalah Alpha-Cronbach. Tujuan pengukuran ini adalah untuk mengukur apa yang kita ingin ukurkan. Kesahan menyatakan pemasalahan mengenai sama ada pengukuran yang dijalankan mengukur apa yang sepatutnya diukur. Kebiasaanya kesahan mengukur kandungan (content), kriteria (criterion) dan konstruk (construct).
Ulasan Keseluruhan Buku
Secara keseluruhannya buku ini bagus untuk dijadikan rujukan kepada guru-guru, bakal-bakal guru amnya dan pelajar-pelajar pendidikan khususnya. Buku ini secara amnya banyak menerangkan berkenaan dengan kajian berasaskan sekolah yang mana ia berkaitan dengan semua jenis kajian termasuklah kajian tindakan. Perkara-perkara asas yang perlu ada dalam menjalankan kajian ada diterangkan di dalam buku ini. Walaupun begitu, buku ini juga mempunyai kekurangannya seperti ia tidak menerangkan dengan lebih terperinci berkenaan dengan setting kajian tindakan, sampel dan sebagainya. Namun, bahasa yang digunakan mudah difahami walaupun terkadang disalah tafsir. Semoga ulasan buku ini dapat membantu anda sedikit sebanyak dalam pemahaman terhadap kajian tindakan.

2 comments: